Sunday, March 2, 2014

London Court di Perth?


Banyak tempat boleh dilawati di kota Perth dan sekitarnya. Saya memulakan lawatan ke ibukota dahulu.

Sebenarnya Perth adalah bandar yang kecil saja. Bandar Kuala Lumpur mungkin dua atau tiga kali ganda lebih besar.

Dari rumah di South Perth ke bandar hanya perlu membayar $1.90 sahaja. Tidak kira sama ada menaiki feri atau bas. Tetapi jika saya mahu berada disitu selama dua jam sahaja, saya perlu membayar $2.70. Itu harga tiket dua hala.

Rata-rata pelancong akan menginap di bandar. Maka sudah tentu jika melawat di kawasan Free Trade Zone (FTZ) tidak dikenakan sebarang bayaran apabila menaiki pengangkutan awam.

Saya berhenti di perhentian Barrack Street. Dari Barrack Street saya berjalan kaki menghala ke Hay Street Mall dahulu dan kemudian ke Murray Street Mall.

Hay Street Mall

Kedua-dua tempat ini merupakan kawasan membeli-belah utama di sini.


Murray Street Mall


Deretan kedai-kedai di sini berurusniaga dari jam sembilan pagi hingga lima petang pada setiap hari Ahad hingga Khamis.

Pada hari Jumaat dan Sabtu pula ia bermula dari jam sembilan pagi hingga sembilan malam
.
Di Hay Street ada satu tempat yang dipanggil London Court.

Pintu masuk ke London Court di Hay Street

London Court dibina pada tahun 1937. Ia terletak diantara Hay Street Mall dan St. Georges Terrace.

Bangunan disini mempunyai rekabentuk Tudor seperti di zaman pemerintahan Ratu Elizabeth 1.

Terdapat dua pintu masuk untuk ke London Court. Diluar pintu masuk bahagian Hay Street Mall terdapat sebuah jam dinding. Rekabentuknya sama seperti rekabentuk jam yang dikenali sebagai “Great Clock” di Rouen, Perancis.

Ini adalah tingkap bagi Tournament of Armoured Knight

Diatas jam tersebut terdapat sebuah tingkap yang dikenali dengan nama “Tournament of Armoured Knight.” Ada replika patung kecil St George yang sedang berperang dengan seekor naga. Ia akan bergerak tatkala jam berbunyi setiap satu jam.


Pertandingan sedang berlangsung

Dibahagian pintu masuk St. Georges Terrace pula, jam di dindingnya seperti jam besar di kotaraya London atau dikenali dengan “Big Ben.”

Tidak kira dari pintu mana saya masuk, saya seolah-olah berada di Perancis ataupun dipinggir bandar bahagian selatan negara Sepanyol. Suasana cukup damai.








Cuma saya tidak mengesyorkan untuk berbelanja disini. Agak mahal harganya walaupun selepas harga diskaun.

Kaki melangkah lagi dan kali ini terpandang sebuah kedai buku. Bagi peminat-peminat buku, kedai buku Dymocks sudah pasti akan dituju. Ianya seperti kedai buku MPH di Malaysia.




Cuma ruang kedainya agak kecil sedikit. Saya meminta izin untuk mengambil gambar dibahagian dalam kedai tersebut. Namun tidak dibenarkan.

Tidak jauh dari situ terdapat sebuah panggung wayang yang terletak di Plaza Piccadilly. Rupa-rupanya itu adalah satu-satunya panggung wayang didalam bandar. Setiap hari rabu ada harga diskaun diberikan kepada pengunjung.



Walaupun ruang panggungnya agak kecil tetapi ianya cukup selesa. Jika berpeluang untuk menonton wayang, pergilah ke panggung yang terletak di luar bandar.

Saya berpeluang pergi menonton wayang di South Perth. Rekabentuk dalaman panggung wayang di sini lebih menarik dari di bandar.

Cuma saya terkedu sedikit ketika berada di luar panggung.

Semua pengunjungnya sudah agak veteran.

Suami berbisik ditelinga, “Panggung ini merupakan panggung wayang kegemaran orang-orang yang sudah pencen.”

Mahu ketawa pun ada, mahu menangis pun ada. Adakah saya tergolong dalam kelompok itu?

Oh, tidak!

Walau bagaimana pun, saya dapat tiket harga bagi warga pencen juga. Panggung di bandar lebih mahal harga tiketnya.

Sambil kaki melangkah, saya terpandang tiang putih yang terletak diatas bumbung Plaza Carillon City. Terdapat loceng-loceng yang dilindungi dengan dinding kaca.



Menurut suami, sudah hampir 20 tahun loceng-loceng itu tidak dibunyikan kerana mendapat bantahan dari pemilik-pemilik kedai dan bangunan.

Cuma baru-baru ini ada khabar angin yang mengatakan ia akan diaktifkan semula. Entah ia atau tidak, nantikan saja bunyinya.

Terdapat sebuah medan makan di bahagian bawah Plaza Carillon City. Namun kebanyakan pengusaha gerai tidak menyediakan makanan halal.





Dibahagian Murray Street Mall pula terdapat sebuah gedung membeli belah yang besar iaitu Myer.


Diluar kawasan Myer terdapat sebuah lapangan untuk bersantai. Anak-anak boleh bermain di pancutan air yang disediakan.







Terdapat sebuah galeri aboriginal tidak jauh dari tempat pancutan air itu. “Creative Native Aboriginal Art Gallery” begitulah nama galerinya. Tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk melawat galeri ini.








Saya amat teruja melihat hasil seni mereka. Amat tinggi harganya apabila saya intai tag harga yang terselit dibelakang gambar dan ukiran.

Sempat juga saya merakam beberapa keping gambar disitu. Sehinggalah saya didatangi seorang pekerja galeri yang memberitahu tidak dibenarkan merakam sebarang foto.
















Saya memohon maaf lalu keluar dari galeri tersebut.

Dari galeri aboriginal, saya melintas jalan untuk menaiki tren. Stesen keretapi Perth hanya terletak di seberang jalan Murray Street sahaja.

Hasrat dihati ingin ke Harbour Town iaitu pusat membeli-belah yang menawarkan harga rendah.

Sengaja saya tidak mengambil bas CAT. Tiket bas saya tadi masih boleh digunakan untuk menaiki tren.

Saya menaiki tren di platfom lima, laluan menuju ke Fremantle. Saya perlu turun di stesen City West. Kemudian berjalan menuju ke Harbour Town.

Ada beberapa kedai yang menjadi kegemaran suami tatkala membeli belah disini. Rivers dan Gazman adalah yang paling digemarinya. Saya pula suka meninjau-ninjau kedai menjual beg tangan Kate Hill.

Cuma yang menjadi masalah, harga setiap beg tangan yang saya sukai apabila ditukar kepada nilai matawang ringgit, ianya menjadi ribuan ringgit. Terpaksa saya lupakan hasrat untuk membelinya.

Lebih baik beli di Malaysia. Walaupun tiada berjenama namun sedap dipakai sudah memadai. Saya terpaksa ukur baju dibadan sendiri.



Terdapat banyak kedai-kedai yang menawarkan harga kilang seperti Fila, Adidas, Cotton On dan Pumpkin Patch.




























Selepas penat meronda di Harbour Town, saya menaiki tren menuju ke Subiaco. Setiap hari Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum, ada pasar menjual buah-buahan dan sayur-sayuran segar disini.


Ia dibuka dari jam tujuh pagi hingga 5.30 petang. Ada sebuah restoren halal disini. Harganya agak berpatutan juga.














 Sudah penat saya berjalan hari ini. Sempat juga saya membeli buah-buahan segar yang murah. Cuma barisan bagi melakukan pembayaran amat panjang.




Saya membeli tiket baru untuk menaiki tren dari Subiaco ke Perth. Kemudian saya menaiki bas di Wellington Street Bus Station untuk menuju ke rumah.

Tips:

1.    Kebanyakan kedai makanan halal disini dibuka untuk makan tengahari dan malam sahaja. Oleh itu eloklah bersarapan di tempat penginapan.

2.    Jika ingin membeli cenderahati, terdapat beberapa kedai yang terletak di Barrack Street menawarkan harga lebih murah dari kedai-kedai lain.

3.    Jika tiba-tiba mengalami demam terutama kanak-kanak, boleh dapatkan rawatan di Perth Medical Centre. Cuma yang agak leceh sedikit, perlu buat temujanji dahulu. Rawatan diterima agak lambat.

4.    Pada setiap hujung minggu, ramai anak seni jalanan yang menghiburkan pengunjung di bandar dengan pelbagai sketsa yang menarik.


No comments:

Post a Comment