Thursday, March 6, 2014

Koala Oh Koala... Zzzz.....

Saya menerima kunjungan cikpuan Yayan, adinda dari Malaysia.

Usai bersarapan saya bertanya, "Mahu ke mana hari ini?"

Yayan menjawab, "Caversham Wildlife Park. Dengar cerita, disana nanti kita boleh bermain sama koala yang comel. Saya mahu peluk-peluk koala itu."

"Oh, jika begitu kita perlu menyewa kereta dahulu dari seorang teman. Agak leceh juga jika mahu ke sana dengan menaiki pengangkutan awam."

Jadi kami dua beradik terus menemui sahabat saya warga Vietnam yang memiliki syarikat kereta sewa.

Usai urusan disitu, saya terus memandu ke Whiteman Park, Lord Street Whiteman, Swan Valley.

Dipintu masuk Whiteman Park

Caversham Wildlife Park agak jauh juga ke dalam.


Caversham Wildlife Park merupakan sebahagian daripada Whiteman Park iaitu satu tempat rekreasi yang merangkumi hampir 4000 hektar hutan belukar semulajadi.

Sebaik saja kami tiba disitu, tiket yang perlu dibayar adalah $22.00 seorang. 



Kami turut membeli makanan untuk diberi kepada haiwan-haiwan yang terdapat disini . Harganya agak berpatutan.

Tanda anak panah menjadi petunjuk kami memulakan kunjungan.

Kawasan pertama yang kami kunjungi adalah tempat kanggaru. 

Ikut arah papan tanda.

Terdapat berpuluh-puluh ekor kanggaru disini.

Pada mulanya saya agak kuatir juga untuk membelai kanggaru ini. Ini kerana ia binatang yang agresif.

Mungkin kerana sudah biasa menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara, kanggaru disini amat jinak sekali. Namun perlu berhati-hati kerana tahi kanggaru bersepah-sepah. Jadi pastikan tidak terpijak.


Kanggaru disini sangat jinak


Yang hitam-hitam itu adalah najisnya


Sehingga menjilat tangan

Kanggaru yang sentiasa lapar

Puluhan kanggaru disini

"Selamat datang ke kandang kami," kata-kata aluan dari kanggaru. 

Kanggaru albino menyusukan anaknya

Dua orang jejaka perancis sedang leka bersama kanggaru

Saya pasti saya bukan sengaja mengambil foto kanggaru..:)





Kemudian kami melalui kawasan kurungan Tammar Wallaby pula. Ada seekor wallaby albino sedang memakan daun. 

Sungguh unik sekali!


Comel bukan?


Tidak jauh dari situ, kami dapat melihat seekor itik sedang bertenggek diatas pagar. 

Apabila kami mendekatinya, ia hanya memberikan posisi terbaik seolah-olah menyuruh kami mengambil fotonya.

Saya pasti ini bukan itik gembo-gembo

Kami menyusuri lagi laluan yang diserikan dengan papan tanda informasi mengenai haiwan-haiwan yang terdapat disini.













Sesekali kedengaran suara angsa hitam seolah-olah memanggil kami untuk menjenguknya. Seekor burung merbuk turut bersama kami memerhati pasangan angsa hitam itu.








Possum, Barking Owl dan Quokka masing-masing berada didalam kurungan khas. 

Kami menunggu juga jika si burung hantu melakukan salakannya, namun ia hanya memandang kami dengan matanya yang besar.


Woof! Woof!.... Err...


Kami fikir mahu ke tempat pertunjukkan mengetam bulu kambing biri-biri diadakan.

 Malangnya apabila kami tiba, pertunjukkan telah selesai.





Terus kami beredar dan melalui pagar yang mengasingkan kami dengan kawanan kambing. 







Ada seekor anak rusa dalam kandang kambing ini




Kami terus mengunjungi kandang llama, arnab dan marmut. Mahu saja kami memasuki kandang arnab apabila melihat kecomelan arnab-arnab tersebut. 

Namun, ia hanya membenarkan kanak-kanak dibawah usia lima tahun saja berada disitu.






Sempat juga kami meninjau kandang unta yang terletak berdepan dengan kandang kambing.





Kaki melangkah ke arah tempat pertunjukan wombat diadakan. Wombat seberat 30kg dipertunjukkan kepada kami. 

Amat menarik sekali!



Wombat seberat 30kg




Berhadapan dengan tempat pertunjukan wombat, seorang petugas taman sedang memberi susu botol kepada anak kanggaru yang ada disitu. 




Disebabkan terlampau ramai pelancong, kami tidak dapat mendengar butir-butir percakapan petugas tersebut. 





 Lalu kami beredar menuju ke tempat koala sambil melihat-lihat 'geng galah dan cockatoo' dalam sangkar.





Cikpuan Yayan  mula berangan-angan ingin memeluk koala.

Katanya, "Saya mahu peluk koala itu erat-erat. Bulunya pasti sangat halus. Saya cukup teruja ingin bertemu dengannya."

Sebelum masuk ke kawasan koala, taklimat ringkas telah diberikan oleh seorang petugas. 

Petugas berkata, "Anda semua dilarang membuat bising apabila berada di dalam kawasan koala. Tidak dibenarkan menyentuh koala itu sama sekali."

Cikpuan Yayan berbisik ke telinga saya, "Alahai, saya baru saja berangan-angan untuk membelai koala itu."

Terdengar seorang pelawat bertanya, "Mengapa kami tidak dibenarkan menyentuh koala?"

Petugas menjawab, "Kerana ia sedang tidur. Koala tidur selama 22 jam sehari!"

Kami berbisik sesama sendiri apabila mendengar kenyataan itu.

"Sshhhh...," petugas tadi memberi isyarat kepada kami.

Kami hanya dibenarkan mengambil foto koala yang sedang tidur tanpa menyentuhnya. Ia agak mengecewakan. 








Akhirnya kami mengambil keputusan beredar dari situ apabila melihat awan mendung sedang berarak dilangit.

Terus saya memandu ke arah Hillarys Boat Harbour yang terletak kira-kira 20 minit dari Whiteman Park.

Terdapat tiga tempat yang menarik disitu iaitu Sorrento Quay, AQWA dan The Great Escape Water Park.

Kami menuju ke Sorrento Quay bagi melihat kedai-kedai yang terdapat disitu. Ada beberapa buah restoran makanan laut dan juga kedai menjual aiskrim. 








Kami membeli aiskrim dan dengan lahap menghabiskannya sambil menikmati keindahan disitu.

Terdapat kapal-kapal mewah milik persendirian diparkir yang dikhaskan. 






Dari tempat kami duduk makan aiskrim, dapat melihat kanak-kanak bermain gelongsor air di taman tema The Great Escape.


Hari sudah petang dan badan sudah penat. Kami mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah tanpa berkunjung ke AQWA atau The Aquarium of Western Australia yang terletak bersebelahan dengan Sorrento Quay.

Mungkin dilain kali.

Saya terus memandu pulang ke rumah didalam hujan lebat. Sepanjang perjalanan pulang, cikpuan Yayan sudah lena dibuai mimpi memeluk koala!

Tips :

1.    Jika mahu ke Caversham Park dengan menaiki pengangkutan awam, perlu menaiki tren laluan Midland dan berhenti di perhentian Bassendean. Kemudian perlu menaiki bas bernombor 955 atau 956 ke Ellenbrook lalu turun di Caversham Park. Anda perlu menekan butang “buzzer” yang terdapat disitu supaya pihak pengurusan taman dapat menghantar kereta bagi mengambil pengunjung. Ini kerana jika berjalan kaki, ia amat jauh sekali. Layari sesawang www.cavershamwildlife.com.au bagi mendapatkan informasi jadual pengangkutan yang disediakan.

2.    Jika mengambil teksi dari Perth ke Caversham, tambang yang dikenakan hampir $30.00.

3.    Terdapat banyak tempat menarik di Whiteman Park seperti

a)    Woodland Reserve
b)    Children’s Forest
c)    Bird of Prey Flying Display
d)    Revolutions Transport Heritage Museum
e)    Motor Museum of Western Australia
f)     Tractor Museum of Western Australia
g)    Vintage Train Rides
h)    Vintage Tram Rides

Atau layari www.whitemanpark.com bagi mendapatkan informasi lebih lanjut

4.    Jika mahu ke Hillarys Boat Harbour pula dengan pengangkutan awam, perlu menaiki tren laluan Joondalup dan berhenti di stesen Warwick. Kemudian naiki bas bernombor 423 ke Hillarys Boat Harbour atau AQWA.

   Layari www.aqwa.com.au bagi mendapatkan informasi lebih lanjut tentang tiket dan masa operasi.

5.  Jika ingin sewa kereta daripada syarikat sewa kereta terkenal, jika menggunakan kad kredit bagi membuat pembayaran, wang deposit yang diminta adalah $500.00. Tetapi jika menggunakan kad debit atau membayar secara tunai, wang depositnya adalah $800.00.

6.  Lesen memandu kereta yang digunapakai di Malaysia, diterima. Asalkan ianya masih sah digunakan.



No comments:

Post a Comment