South Perth dipisahkan oleh Sungai Swan dari pusat bandar. Hanya mengambil masa dua minit
pemanduan atau tujuh minit jika menaiki feri. Boleh juga berjalan kaki atau
berlari anak dari pusat bandar ke sini.
Ada beberapa tempat menarik jika
mahu berkunjung ke sini. Salah satu tempat yang jarang-jarang dikunjungi
pelancong adalah ‘The Old Mill’ atau dahulu dikenali dengan nama ‘Shenton
Mill’.
Bangunan yang dahulu merupakan
kilang mengisar tepung jagung telah dibina pada tahun 1835. Ia kini telah
diwartakan sebagai salah satu bangunan bersejarah dibawah jagaan National Trust
Australia.
Tiada sebarang bayaran yang
dikenakan, namun boleh menderma seikhlas hati. Saya memasuki ruang dalam
bangunan tinggi berwarna putih itu. Ia merupakan bangunan tiga tingkat. Namun
saya tidak menjumpai sebarang tangga ke tingkat atas. Didalamnya hanya ada dua
buah bilik kecil.
Dibahagian
atas luar bangunan terdapat sebuah pintu. Saya membuat kesimpulan sendiri.
Mungkin orang dahulu menggunakan tangga mudah alih untuk ke bahagian atas.
Saya
melangkah menuju ke bangsal di bahagian belakang. Agak memeranjatkan apabila
memasuki ke ruang dalam, silingnya agak rendah.
Mungkinkah
ada ‘Hobbit’ di South Perth satu ketika dahulu?
Namun setiap alatan barangan
memasak, menggosok dan lain-lain yang dipamerkan bersaiz biasa. Mungkin telahan
saya silap.
Puas sudah berada disitu lalu saya melangkah keluar menuju
ke Perth Zoo.
Agak memenatkan juga
berjalan kaki dari The Old Mill ke zoo.
Saya tidak berminat untuk melihat
haiwan-haiwan yang ada di zoo. Seperti di mana-mana zoo seluruh dunia, terdapat
pelbagai spesis binatang yang terkurung disini. Kadangkala ngauman singa boleh
didengar dari apartmen saya.
Pada
masa dahulu, beberapa spesis burung dan binatang seperti tupai telah terlepas
dari kurungan zoo ini. Sebab itu sehingga kini, banyak burung seperti Galah dan
Rainbow Lorrekeet berkembang biak sedangkan ia bukanlah spesis asal disini.
Kadangkala
kita boleh melihat banyak tupai berkeliaran di atas pagar kawasan perumahan.
Namun pihak berkuasa sentiasa memantau setiap aduan penduduk bagi membasmi
pembiakan tupai di kawasan ini.
Nasib
baik bukan singa atau harimau yang terlepas. Bagaimana pula kalau haiwan ini
yang berkembang biak?
Terdapat dua buah kedai makanan
halal tidak jauh dari jeti feri iaitu Roj’s Kebab dan Tina’s Kitchen. Ia
terletak di Mends Street. (Boleh rujuk post Welcome Back, Makan-Makan)
Hotel Windsor |
Jalan Mill Point |
Pejabat Pos |
Boleh hantar poskad ke alamat sendiri |
Namun, kini Tina's Kitchen hanya dibuka jam 5 petang - 9 malam.
Memang sangat berbaloi jika membeli
makanan di sini. Samaada ingin makan di situ atau lebih enak jika dibawa
berkelah ke Sir James Mitchell Park, yang terletak tidak jauh dari situ.
Di Sir James Mitchell Park terdapat
banyak gazebo dan kemudahan bbq. Malah ia menjadi salah satu destinasi
perkelahan penduduk tempatan yang popular kerana lokasinya yang menghadap
Sungai Swan disamping kemudahan awam yang disediakan.
Ketika Australia Day yang diraikan
pada 26hb Januari setiap tahun, kawasan ini dijadikan tempat aktiviti menyambut
pesta tersebut. Banyak aktiviti kanak-kanak disediakan secara percuma.
Pada malam harinya, pertunjukkan
bunga api yang cukup menarik mewarnai langit malam.
Disini terdapat sebuah taman kecil
yang dipanggil ‘The Scented Garden’. Ia amat popular dijadikan tempat
melangsungkan perkahwinan. Hampir setiap hujung minggu, pasti ada majlis
diadakan.
Tidak jauh dari situ, dapat dilihat
deretan perahu layar. Ia boleh disewa dari operator yang mengendalikan perahu
layar tersebut iaitu Funcats Catamaran Hire and Sailing Centre.
Sekiranya sebelum ini tidak pernah
mengendalikan perahu layar, beritahu sahaja pada petugas. Mereka akan
menyediakan seorang pengendali yang bertauliah.
Sebuah perahu layar hanya boleh
dinaiki seramai tiga orang sahaja. Harga sewaan satu jam hanya $35.00 termasuk
jaket keselamatan.
Jika tiada tiupan angin, perahu
layar tidak mampu bergerak ke mana-mana. Pihak operator akan datang membantu
menarik perahu layar yang dinaiki dengan menggunakan bot.
Tips :
1.
Jika dari pusat bandar ingin
berkunjung ke The Old Mill, lebih mudah menaiki bas bernombor 35 di Esplanade
Busport.
2.
Jika ingin ke Perth Zoo, bas
bernombor 30 dan 31 melalui Labouchere Road. Beritahu saja pada pemandu bas
anda ingin ke zoo. Beliau akan menurunkan anda di hadapan pintu masuk zoo.
3.
Lebih mudah menaiki bas
bernombor 34 atau menaiki feri jika ingin ke Mends Street dan Sir James
Mitchell Park. Boleh juga menaiki bas bernombor 30, 31 dan 35. Cuma perlu
berjalan kaki agak jauh sedikit.
4.
Terdapat sebuah pasaraya IGA
di Mends Street sekiranya perlu membeli makanan tambahan ketika berkelah.
5.
Setiap tahun pada bulan Mac,
pihak berkuasa City of South Perth kerap mengadakan festival South Perth bagi
menggalakkan penduduk setempat atau peniaga kecil-kecilan mempromosikan
barangan jualan mereka.
No comments:
Post a Comment