Saturday, March 8, 2014

Mama, Ada Ikan Jerung!


Musim panas di Perth bermula pada bulan Disember dan berakhir pada akhir bulan Febuari.

Apabila tiba musim panas, ada dua tempat yang paling gemar dikunjungi oleh penduduk tempatan.

Tempat yang pertama ialah taman-taman yang dilengkapi dengan kemudahan berbbq dan yang kedua pula adalah bahagian tepi pantai.

Pada satu hari di musim panas, ketika itu anak-anak turut berada di Perth kerana cuti sekolah telah bermula di Malaysia, kami berkunjung ke pantai yang terletak di Cottesloe atau lebih dikenali dengan panggilan Cott.

Kami lebih gemar ke pantai Cott dari pantai yang lain kerana ia lebih mesra pengunjung yang bekeluarga.

Terdapat kemudahan bilik persalinan, taman permainan kanak-kanak, kawasan berkelah yang redup, kedai-kedai makanan dan yang paling penting sekali senang  dikunjungi.

Tambahan pula pantai ini mudah dikunjungi samaada dengan menaiki bas atau keretapi.

Kami menaiki keretapi di stesen Perth. Perlu menunggu keretapi di platform lima laluan ke Fremantle.

Anak-anak sudah bersedia dengan pakaian renang. Saya dan suami mengendong beg-beg yang berisi makanan dan pakaian bersih. Suami turut membimbit tikar gulung.

Apabila tiba di stesen Cott, kami sekeluarga terus mendaki anak bukit yang menuju ke pantai.

Hampir 15 minit berjalan kaki, baru kelihatan laut biru terbentang luas dihadapan kami. Anak-anak sudah tidak menyempat untuk terjun ke laut.

Kami mencari ruang bagi menghamparkan tikar gulung yang dibawa. Sebaik saja dapat tempat yang sesuai, suami dan anak-anak terus berlari menuju ke laut.

Sudah tentu saya mengambil peluang bersantai sambil membaca buku kerana saya tidak pandai berenang.

Kedengaran bunyi helikopter berlegar-legar di udara. Saya meletakkan buku ke bawah seketika sambil memandang ke langit.

Helikopter itu beredar menuju ke arah selatan. Saya kembali menyambung pembacaan yang terbantut seketika.

Tiba-tiba terdengar bunyi semboyan diudara. Saya terus bangun dan memandang ke laut.

Kelihatan suami mengarahkan anak-anak kembali ke darat. Ramai petugas pantai yang menolong anak-anak kecil keluar dari laut.

Suasana agak cemas. Ada ibubapa yang terjerit-jerit memanggil anak-anak mereka yang masih berada di dalam air supaya kembali ke darat.

Saya tidak memahami apa yang berlaku. Semboyan masih lagi dibunyikan. Helikopter berlegar-legar diudara. Kini bukan hanya sebuah helikopter, malah telah tiba sebuah lagi yang turut berlegar-legar.

Semua orang yang berada disitu mula panik. Apa yang telah berlaku?

Afrina dan Afif saling menjerit dari jauh berlari mendapatkan saya yang masih terpinga-pinga, “Mama, ada ikan jerung! Ada ikan jerung!”

Saya terperanjat lalu memeluk mereka berdua, “Ada ikan jerung? Kamu berdua nampak ikan itu?”

Kedua-dua anak kecil itu mentertawakan kebodohan saya, “Sudah tentu kami tidak nampak ikan itu. Kami semua perlu keluar dari dalam air sebelum ikan jerung itu datang. Itulah fungsi bunyi semboyan. Kami semua perlu keluar dari dalam air.”

Suami tersenyum melihat keletah anak-anak yang terus menyumbat makanan ke mulut. Nasi goreng dan roti sandwich berinti sardin menjadi hidangan kami sekeluarga.

Saya bertanya kepada suami, “Apa yang sedang berlaku?”

Suami menjawab ringkas, “Ada ikan jerung.”

Saya seolah-olah tidak mempercayai kata-kata suami, “Abang jangan main-main. Benarkah ada jerung?”

Suami mengangguk lalu menerangkan, “Ketika kita baru tiba disini, saya telah nampak helikopter diudara. Selalunya jika ada helikopter, mereka sedang memantau pergerakan ikan jerung. Tetapi saya tidak mahu memberitahu kamu semua supaya kamu tidak berasa cemas. Ini adalah perkara biasa bagi penduduk tempatan.”

Saya memandang suami tidak berkelip. Mulut saya terkunci. Tiba-tiba saja saya teringat filem “Jaws” yang saya tonton satu ketika dulu.

Kelihatan orang ramai menaiki tebing batu tidak jauh dari tempat kami berkelah.

Suami berkata lagi, “Ikan jerung itu telah membunuh seorang pemancing semalam. Jadi pihak berkuasa pantai sedang memburu ikan tersebut. Mungkin ikan yang berada disini sekarang adalah ikan yang sama.”

Tubuh saya terus menggeletar. Saya tidak pernah mengalami situasi begini jika berada di Malaysia.

Terus saya mengajak suami dan anak-anak pulang walaupun anak-anak membantah. Selepas suami menerangkan kepada mereka bahawa pihak berkuasa pantai telah mengumumkan bahawa pantai ditutup sehingga diberitahu kelak, barulah mereka akur.

Kedengaran kedua-dua beradik itu bercakap sesama sendiri, “Esok kita mesti ajak mama dan papa datang ke sini lagi.”

Afrina bertanya pula kepada abangnya, “Bagaimana jika pantai belum dibuka lagi esok?”

Afif menjawab, “Kita mohon pada Allah supaya esok pantai ini dibuka kembali.”

Afrina mengangguk lalu terus melangkah sepi. Saya dan suami hanya memandang antara satu sama lain.

Cottesloe, sebut betul-betul ya

Perhentian keretapi Cottesloe

15 minit mendaki bukit


Tidak jauh dari situ ada padang golf


Sudah boleh nampak lautan biru

Jika bawa kereta, sila baca papan tanda disitu ya



Disebalik tebing itulah, ikan jerung itu berada



Pejabat pihak berkuasa pantai dan tandas awam




Boleh nampak pelabuhan Fremantle dari sini




















































Tips:

1.    Pantai Cottesloe amat popular bagi perkelahan bagi yang sudah bekeluarga.

2.    Terdapat banyak pantai-pantai yang lain seperti City Beach, Trigg dan Scarborough. Namun pantai-pantai ini lebih kepada pemuda-pemudi yang ingin bermain papan luncur. Tiada kawasan berteduh di pantai ini.

3.    Penggunaan losyen “sunblock” adalah wajib. Ia bagi mengelak daripada mendapat kesan kulit terbakar dan juga kanser kulit. Matahari disini sangat terik.

4.    Terdapat banyak ikan jerung di laut ketika musim panas. Maka sentiasa berwaspada apabila berenang atau memancing di laut. Sentiasa dapatkan berita terkini mengenai keadaan pantai dan laut.


5.    Jika mahu melihat matahari terbenam, pergi saja ke mana-mana pantai.


     Foto Pantai Scarborough


   



























No comments:

Post a Comment