Thursday, February 27, 2014

Jeritan Sebelum Subuh

Jam baru menunjukkan pukul empat pagi. Saya terjaga dari tidur akibat satu jeritan yang kuat.

Bunyi jeritan suara monyet! Ia amat menyeramkan. Jeritan itu datangnya seolah-olah dari luar bilik tidur kami. Tubuh saya mula gementar.

Suami di sebelah masih nyenyak tidur. Hendak dikejutkan, kasihan pula. 

Hati tertanya-tanya dari mana datangnya bunyi jeritan monyet waktu dinihari begini.

Adakah monyet di zoo yang terletak berhadapan pangsapuri kami terlepas dari kandangnya?

Kadang-kala memang ada terdengar bunyi ngauman sang singa pada waktu Subuh tetapi bunyinya agak sayup-sayup sekali.

Secara tiba-tiba suasana kembali sunyi sepi. Saya terlena kembali.

******

Usai bersarapan saya memberitahu suami tentang suara jeritan monyet itu.

Menurut suami itu adalah bunyi burung Kookaburra. 



Terus saya teringat senikata lagu rakyat  negara ini yang saya pelajari ketika di tadika.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Merry, merry king of the bush is he,
Laugh, Kookaburra! Laugh, Kookaburra!
What a life you lead.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Merry, merry, merry little bird is he,
Sing, Kookaburra! Sing, Kookabura!
Sing your song for me.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Eating all the gum drops he can see,
Stop, Kookaburra! Stop, Kookaburra!
Leave some there for me.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Counting all the monkeys he can see,
Stop, Kookaburra! Stop, Kookaburra!
That’s not a monkey that is me.

Malangnya saya tidak pernah melihat burung bersuara monyet itu secara langsung. Mengikut kata suami, ianya datang dan pergi begitu saja. Jarang sekali ia bermastautin di satu tempat.

             Hampa rasanya.

          Saya percaya ketika saya mendengar jeritan suara si Kookaburra waktu dinihari, ia bertenggek di palang balkoni luar bilik tidur kami.

Melihat saya termenung di meja makan, suami bertanya, “Mahu ke Pulau Heirisson?”

Hati saya melonjak riang. Tanpa sebarang pertanyaan saya terus bergegas menukar pakaian.

Selalunya kami akan menaiki pengangkutan awam jika mahu ke mana-mana di sekitar bandar Perth.

Tetapi apabila suami berjalan menuju ke arah taman yang luas terbentang di belakang pangsapuri, terus saya bertanya, “Di mana letaknya Pulau Heirisson? Mengapa kita mengikut laluan taman?”

Suami menjawab sambil mula melakukan senaman regangan, “Tidak jauh dari sini. Kita berjalan kaki sahaja. Boleh keluarkan peluh sambil menyusuri Sungai Swan. Otak cergas, badan pun sihat.”

Lidah saya terus kelu untuk berkata-kata. Nampaknya suami menggunakan ‘seketul batu bagi membunuh dua ekor burung’. Bersenam sambil bersiar-siar.

Ramai orang sedang beriadah bersama keluarga dan tidak kurang juga yang sedang melakukan senaman di sekitar taman ini.

Kami terus berjalan dengan pantas atau “brisk walking” sehingga tiba di sebuah tasik kecil. Terdapat banyak itik sedang berenang-renang. Burung Silver Seagull turut berjemur di situ.






Paling menarik perhatian adalah angsa hitam yang menjadi kebanggaan warga Western Australia.



Pada masa dahulu angsa hitam ini hanya boleh didapati di negeri ini sahaja. Namun ianya telah dibiakkan di serata negara.

Terdapat hanya dua ekor angsa hitam di tepi tasik. Suami hanya memerhati saya mendekati angsa hitam tersebut.

Tiba-tiba salah seekor angsa itu hendak “menyudu” saya. Kelam kabut saya melarikan diri. Suami ketawa mengekek melihat gelagat saya dikejar angsa hitam.


Sehabis tawa beliau bertanya, “Mahu pergi ke Lake Monger? Di situ terdapat ratusan angsa hitam.”

Saya menjawab termengah-mengah, “Oh, tidak. Saya tidak mahu dikejar oleh ratusan angsa hitam!”

Semakin kuat suami ketawa.

Kami meneruskan lagi perjalanan melewati rumah-rumah penduduk tempatan yang begitu cantik terletak mengadap sungai.

Tiba-tiba suami berteriak sambil menunjuk ke arah Sungai Swan, “Lihat di sana”.

Sekumpulan ikan lumba-lumba sedang melompat-lompat riang. Malangnya ia agak jauh dari tempat kami berdiri.

Saya cuba merakamkan detik-detik tersebut. Malangnya ikan itu berada semakin jauh dari kami. Maka imej yang ada dikamera hanya imej air berkocak.



Saya begitu hampa. Bukan mudah hendak melihat ikan lumba-lumba di dalam sungai. 

Namun suami pandai memujuk, “Tidak mengapa. Lain kali boleh cuba lagi. Sememangnya terdapat ikan lumba-lumba yang hidup di Sungai Swan ini.”

Hati saya sedikit riang tetapi sehingga kini saya masih belum dapat mengambil gambar keluarga ikan lumba-lumba tersebut.

Adakalanya ia hadir ketika air sedang pasang dan adakalanya ia hadir di waktu matahari tegak dikepala. Kadang-kadang kami hanya nampak dari jauh sahaja.

Suami berkata lagi, “Ada satu tempat disini yang menawarkan pakej berenang bersama ikan lumba-lumba.”

Mata saya bersinar-sinar dan semangat kembali hadir.

“Di mana?” tanya saya ringkas.

“Rockingham. Lebih kurang satu jam perjalanan dari sini.”

“Mungkin dilain kali,” jawab saya sedikit terkilan.

Saya tidak mahu memberitahu suami bahawa saya tidak tahu berenang. Suami hanya tersenyum sinis. (Mungkin beliau tahu.)           

Ketika kami melintasi tasik yang kecil sedikit diantara tasik-tasik yang ada, kelihatan semak-semak ditepi tasik bergoyang-goyang. Kami cuba mengintai-intai mencari apakah lembaga tersebut.


Suami menunjuk ke arah lembaga kecil berwarna hitam dan berparuh merah yang sedang menyusuri tebing tasik, “Itu ialah burung Purple Swamphen. Cantik bukan?”


Saya mengangguk.

Terdapat banyak spesis burung dan itik di kawasan tasik tersebut. Seronok melihat banyak unggas-unggas yang hidup di habitat semulajadi.



Tidak lama kemudian kami tiba di satu kawasan yang berpagar tinggi. Terdapat papan tanda “Heirison Island” yang hampir tumbang berhampiran dengan pintu masuk. Kawasan sekitarnya seolah-olah tidak terjaga.




Suami mula menerangkan tentang kawasan yang dipanggil Pulau Heirisson ini. Ia merupakan tempat suci bagi penduduk orang asli keturunan Nyungar. Mereka menggelar pulau ini sebagai ‘Matagarup’.

Pulau Heirisson bukanlah pulau semulajadi. Lokasinya terletak diantara bandar Perth dan daerah Victoria Park.

Disebabkan pada masa dahulu kawasan tersebut telah ditebus guna bagi tujuan pembangunan, maka ia terpisah daripada dua daerah tersebut akibat dari kerja-kerja mengorek tanah.


         
Saya terasa seolah-olah berada di kawasan yang begitu asing sekali. Terdapat tanah paya, hutan belukar dan tanah gersang didalam satu kawasan yang sama. Tiada orang lain disitu selain kami.



Kami berjalan mengelilingi pulau tersebut. Kelihatan beberapa ekor kanggaru kelabu sedang berteduh di bawah pokok. Ia sebenarnya jinak kerana telah biasa melihat manusia. Jadi kita boleh menyentuhnya.

Namun disebabkan saya seorang yang penakut, saya lebih rela merakamkan  foto kanggaru itu sahaja. Tidak mungkin saya memeluk kanggaru tersebut.







Kami terus berjalan sehingga ke bahagian hujung pulau. Kelihatan sebuah tugu pahlawan orang asli tegap berdiri mengadap sungai.

Ia dibina bagi memperingati pahlawan orang asli yang terbunuh pada tahun 1833. Pada tahun 1997, bahagian kepala tugu ini telah hancur akibat dari perbuatan vandalisma. Namun ianya telah dibaiki semula.



Pulau Heirisson ini juga telah menjadi lokasi terakhir dalam pertandingan “The Amazing Race Australia – Musim Pertama”.

Perut sudah mula berbunyi dan hawa semakin panas. Kami kembali menyusuri tebing sungai untuk kembali ke rumah.

Tips :

1.    Burung kookaburra amat terkenal di Australia. Jika mahu melihatnya boleh ke Perth Zoo.

2.    Jika mahu berenang bersama ikan lumba-lumba, sila layari www.dolphin.com.au

3.    Pulau Heirisson amat sunyi. Pastikan jika mahu ke sini ada teman atau berkumpulan.

4.    Tarikan utama pulau ini hanyalah kanggaru kelabu yang dibiarkan bebas.


5.   Pastikan memakai losyen bagi mengelak dari gigitan nyamuk. Terdapat banyak nyamuk di kawasan berpaya ini.

No comments:

Post a Comment