Thursday, February 27, 2014

Jeritan Sebelum Subuh

Jam baru menunjukkan pukul empat pagi. Saya terjaga dari tidur akibat satu jeritan yang kuat.

Bunyi jeritan suara monyet! Ia amat menyeramkan. Jeritan itu datangnya seolah-olah dari luar bilik tidur kami. Tubuh saya mula gementar.

Suami di sebelah masih nyenyak tidur. Hendak dikejutkan, kasihan pula. 

Hati tertanya-tanya dari mana datangnya bunyi jeritan monyet waktu dinihari begini.

Adakah monyet di zoo yang terletak berhadapan pangsapuri kami terlepas dari kandangnya?

Kadang-kala memang ada terdengar bunyi ngauman sang singa pada waktu Subuh tetapi bunyinya agak sayup-sayup sekali.

Secara tiba-tiba suasana kembali sunyi sepi. Saya terlena kembali.

******

Usai bersarapan saya memberitahu suami tentang suara jeritan monyet itu.

Menurut suami itu adalah bunyi burung Kookaburra. 



Terus saya teringat senikata lagu rakyat  negara ini yang saya pelajari ketika di tadika.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Merry, merry king of the bush is he,
Laugh, Kookaburra! Laugh, Kookaburra!
What a life you lead.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Merry, merry, merry little bird is he,
Sing, Kookaburra! Sing, Kookabura!
Sing your song for me.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Eating all the gum drops he can see,
Stop, Kookaburra! Stop, Kookaburra!
Leave some there for me.

Kookaburra sits in the old gum tree,
Counting all the monkeys he can see,
Stop, Kookaburra! Stop, Kookaburra!
That’s not a monkey that is me.

Malangnya saya tidak pernah melihat burung bersuara monyet itu secara langsung. Mengikut kata suami, ianya datang dan pergi begitu saja. Jarang sekali ia bermastautin di satu tempat.

             Hampa rasanya.

          Saya percaya ketika saya mendengar jeritan suara si Kookaburra waktu dinihari, ia bertenggek di palang balkoni luar bilik tidur kami.

Melihat saya termenung di meja makan, suami bertanya, “Mahu ke Pulau Heirisson?”

Hati saya melonjak riang. Tanpa sebarang pertanyaan saya terus bergegas menukar pakaian.

Selalunya kami akan menaiki pengangkutan awam jika mahu ke mana-mana di sekitar bandar Perth.

Tetapi apabila suami berjalan menuju ke arah taman yang luas terbentang di belakang pangsapuri, terus saya bertanya, “Di mana letaknya Pulau Heirisson? Mengapa kita mengikut laluan taman?”

Suami menjawab sambil mula melakukan senaman regangan, “Tidak jauh dari sini. Kita berjalan kaki sahaja. Boleh keluarkan peluh sambil menyusuri Sungai Swan. Otak cergas, badan pun sihat.”

Lidah saya terus kelu untuk berkata-kata. Nampaknya suami menggunakan ‘seketul batu bagi membunuh dua ekor burung’. Bersenam sambil bersiar-siar.

Ramai orang sedang beriadah bersama keluarga dan tidak kurang juga yang sedang melakukan senaman di sekitar taman ini.

Kami terus berjalan dengan pantas atau “brisk walking” sehingga tiba di sebuah tasik kecil. Terdapat banyak itik sedang berenang-renang. Burung Silver Seagull turut berjemur di situ.






Paling menarik perhatian adalah angsa hitam yang menjadi kebanggaan warga Western Australia.



Pada masa dahulu angsa hitam ini hanya boleh didapati di negeri ini sahaja. Namun ianya telah dibiakkan di serata negara.

Terdapat hanya dua ekor angsa hitam di tepi tasik. Suami hanya memerhati saya mendekati angsa hitam tersebut.

Tiba-tiba salah seekor angsa itu hendak “menyudu” saya. Kelam kabut saya melarikan diri. Suami ketawa mengekek melihat gelagat saya dikejar angsa hitam.


Sehabis tawa beliau bertanya, “Mahu pergi ke Lake Monger? Di situ terdapat ratusan angsa hitam.”

Saya menjawab termengah-mengah, “Oh, tidak. Saya tidak mahu dikejar oleh ratusan angsa hitam!”

Semakin kuat suami ketawa.

Kami meneruskan lagi perjalanan melewati rumah-rumah penduduk tempatan yang begitu cantik terletak mengadap sungai.

Tiba-tiba suami berteriak sambil menunjuk ke arah Sungai Swan, “Lihat di sana”.

Sekumpulan ikan lumba-lumba sedang melompat-lompat riang. Malangnya ia agak jauh dari tempat kami berdiri.

Saya cuba merakamkan detik-detik tersebut. Malangnya ikan itu berada semakin jauh dari kami. Maka imej yang ada dikamera hanya imej air berkocak.



Saya begitu hampa. Bukan mudah hendak melihat ikan lumba-lumba di dalam sungai. 

Namun suami pandai memujuk, “Tidak mengapa. Lain kali boleh cuba lagi. Sememangnya terdapat ikan lumba-lumba yang hidup di Sungai Swan ini.”

Hati saya sedikit riang tetapi sehingga kini saya masih belum dapat mengambil gambar keluarga ikan lumba-lumba tersebut.

Adakalanya ia hadir ketika air sedang pasang dan adakalanya ia hadir di waktu matahari tegak dikepala. Kadang-kadang kami hanya nampak dari jauh sahaja.

Suami berkata lagi, “Ada satu tempat disini yang menawarkan pakej berenang bersama ikan lumba-lumba.”

Mata saya bersinar-sinar dan semangat kembali hadir.

“Di mana?” tanya saya ringkas.

“Rockingham. Lebih kurang satu jam perjalanan dari sini.”

“Mungkin dilain kali,” jawab saya sedikit terkilan.

Saya tidak mahu memberitahu suami bahawa saya tidak tahu berenang. Suami hanya tersenyum sinis. (Mungkin beliau tahu.)           

Ketika kami melintasi tasik yang kecil sedikit diantara tasik-tasik yang ada, kelihatan semak-semak ditepi tasik bergoyang-goyang. Kami cuba mengintai-intai mencari apakah lembaga tersebut.


Suami menunjuk ke arah lembaga kecil berwarna hitam dan berparuh merah yang sedang menyusuri tebing tasik, “Itu ialah burung Purple Swamphen. Cantik bukan?”


Saya mengangguk.

Terdapat banyak spesis burung dan itik di kawasan tasik tersebut. Seronok melihat banyak unggas-unggas yang hidup di habitat semulajadi.



Tidak lama kemudian kami tiba di satu kawasan yang berpagar tinggi. Terdapat papan tanda “Heirison Island” yang hampir tumbang berhampiran dengan pintu masuk. Kawasan sekitarnya seolah-olah tidak terjaga.




Suami mula menerangkan tentang kawasan yang dipanggil Pulau Heirisson ini. Ia merupakan tempat suci bagi penduduk orang asli keturunan Nyungar. Mereka menggelar pulau ini sebagai ‘Matagarup’.

Pulau Heirisson bukanlah pulau semulajadi. Lokasinya terletak diantara bandar Perth dan daerah Victoria Park.

Disebabkan pada masa dahulu kawasan tersebut telah ditebus guna bagi tujuan pembangunan, maka ia terpisah daripada dua daerah tersebut akibat dari kerja-kerja mengorek tanah.


         
Saya terasa seolah-olah berada di kawasan yang begitu asing sekali. Terdapat tanah paya, hutan belukar dan tanah gersang didalam satu kawasan yang sama. Tiada orang lain disitu selain kami.



Kami berjalan mengelilingi pulau tersebut. Kelihatan beberapa ekor kanggaru kelabu sedang berteduh di bawah pokok. Ia sebenarnya jinak kerana telah biasa melihat manusia. Jadi kita boleh menyentuhnya.

Namun disebabkan saya seorang yang penakut, saya lebih rela merakamkan  foto kanggaru itu sahaja. Tidak mungkin saya memeluk kanggaru tersebut.







Kami terus berjalan sehingga ke bahagian hujung pulau. Kelihatan sebuah tugu pahlawan orang asli tegap berdiri mengadap sungai.

Ia dibina bagi memperingati pahlawan orang asli yang terbunuh pada tahun 1833. Pada tahun 1997, bahagian kepala tugu ini telah hancur akibat dari perbuatan vandalisma. Namun ianya telah dibaiki semula.



Pulau Heirisson ini juga telah menjadi lokasi terakhir dalam pertandingan “The Amazing Race Australia – Musim Pertama”.

Perut sudah mula berbunyi dan hawa semakin panas. Kami kembali menyusuri tebing sungai untuk kembali ke rumah.

Tips :

1.    Burung kookaburra amat terkenal di Australia. Jika mahu melihatnya boleh ke Perth Zoo.

2.    Jika mahu berenang bersama ikan lumba-lumba, sila layari www.dolphin.com.au

3.    Pulau Heirisson amat sunyi. Pastikan jika mahu ke sini ada teman atau berkumpulan.

4.    Tarikan utama pulau ini hanyalah kanggaru kelabu yang dibiarkan bebas.


5.   Pastikan memakai losyen bagi mengelak dari gigitan nyamuk. Terdapat banyak nyamuk di kawasan berpaya ini.

Wednesday, February 26, 2014

Oh, Saya tertinggal DNA di Kings Park!

            Rambut? Gigi? atau....

        Sebenarnya saya baru teringat saya tertinggal satu lagi bab untuk ditulis bagi tajuk Kings Park. Jadi kisah di Kings Park belum berakhir.

             Tertinggal bab yang menceritakan tentang DNA Tower. 

            Di satu pagi, apabila suami mengajak ke Kings Park untuk melihat matahari terbit, saya hanya mengiyakan saja. Tambahan pula kereta yang disewa masih belum dihantar pulang. Jadi apalagi, saya terus memandu ke sana usai solat Subuh.

             





           Dari rumah ke Kings Park tidaklah jauh mana. Hanya dua minit pemanduan saja.

          Usai melihat terbit matahari di ufuk timur, suami mengajak ke DNA Tower. 





          



          Selepas pengalaman di Jacob's Ladder, saya rasa serik hendak mendaki atau menuruni tangga yang tinggi. Cukup-cukuplah!

          Tambahan pula tangga menara ini berpusing-pusing macam gasing yang boleh membuatkan saya pening.

         DNA Tower dibina di kawasan yang paling tinggi di Kings Park pada tahun 1966. 

        Dengan ketinggian 15m, ia mempunyai 101 anak tangga. Tangganya pula diinspirasi dari anak tangga di Chateau de Blois, Perancis iaitu tempat tinggal beberapa Raja Perancis zaman dulu. 

         Anak tangga menara itu mempunyai rekabentuk DNA. Jadi begitulah ia mendapat nama.

        Atas desakan suami, saya mendaki anak tangga menara ini dengan perasaan gayat. 

   Namun apabila berada di puncak, perasaan itu hilang sama sekali tatkala melihat pemandangan indah sejauh mata memandang.
        
   






       


           Sudah puas menikmati panorama indah itu, ada satu lagi masalah.

           Saya takut mahu turun!

           Macam mana ni? 

        Kata suami, "Okay, kamu tunggu dulu di atas. Abang mahu turun sekarang. Bila kamu sudah bersedia, baru turun."

       Saya menjawab, "Sampai hati abang hendak tinggalkan saya di sini keseorangan. Bolehkah abang gendong saya ke bawah?"

            Katanya, "Tunggu sekejap. Abang mahu beritahu pelawat yang baru tiba itu supaya tidak naik ke sini dahulu."

       Beliau terus menuruni tangga berpusing itu. Apabila tiba di bahagian bawah, beliau melaung.

           "Abang tidak boleh mengendong kamu kerana abang sudah berada di bawah. Bolehkah kamu turun sekarang?"

            Grrrr........

            Saya terketar-ketar menuruni tangga itu. Tiba di bawah, suami ketawa mengekek.
            
           Tanpa mempedulikan suami yang masih ketawa, saya terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin.

           Sambil ketawa suami bertanya, "Mahu ke mana selepas ini?"

           "Balik!"

           Makin kuat ketawanya.

   
           (Mode bengang)




           Tetapi sebenarnya kami tidak terus pulang. Saya buat lencongan ke Synergy Parkland.  


                Apabila melihat batu berbentuk buaya ini, saya terkenangkan Mimaland yang pernah menjadi lokasi perkelahan terkenal di Kuala Lumpur satu ketika dahulu.










               Ia merupakan kawasan perkelahan yang popular pada hujung minggu.

  Tips :

1.  Jika membawa anak ke DNA Tower, saya nasihatkan agar tidak mendaki tangga menara         itu bersama anak atas sebab keselamatan.

2.  Kadangkala angin agak kuat bertiup di puncak menara, jadi perlu berhati-hati.

3.  Jika ada perasaan gayat, lebih baik tidak usah mendaki tangga menara kerana ianya agak      curam juga.

4.   Lokasi Synergy Parkland agak jauh dari taman botani. Perlu menaiki kenderaan untuk tiba         di situ. Bas tidak melalui kawasan ini.


Monday, February 24, 2014

Kings Park - Bahagian 5 (Akhir)

Perut sudah mula lapar lalu saya duduk makan tengahari di atas bangku kosong yang banyak disediakan di kawasan taman bagi kemudahan pelancong yang datang.

Mata mengadap taman air atau Water Garden iaitu salah satu tempat perkelahan. Sesekali air pancutan melonjak tinggi, amat cantik sekali dilihat dibawah sinar pancaran matahari yang terik.

Tidak jauh dari situ ada sebuah patung gangsa dijadikan sebagai simbolik untuk kaum wanita di Western Australia yang telah lebih 100 tahun memperjuangkan hak mengundi.




Bukan patung di pancutan air ini yang saya maksudkan. Fotonya tiada dalam simpanan.


Perjalanan diteruskan lagi dengan mengikuti laluan air yang diberi nama Darling Range Creek.

Tumbuh-tumbuhan air begitu segar dan hijau sekali warnanya. Sesekali suara katak kedengaran menyebabkan langkah saya semakin laju.

Taman batu buatan manusia yang di jadikan kolam pada bahagian akhir sungai kecil ini, menjadi tempat itik-itik berenang dan burung-burung melepaskan dahaga.

             Kaki terus melangkah menuju ke arah papan tanda yang bertulis "Beedawong".


Beedawong adalah tempat bagi kaum Nyoongar melakukan persembahan tarian kebudayaan atau perjumpaan dengan ahli-ahli mereka. Namun kini hanya tinggal kesan peninggalannya sahaja.

(Maaf, foto di Darling Creek dan Beedawong telah hilang dari simpanan)


Tidak jauh dari situ, Lotterywest Federation Walkway seakan menanti ketibaan saya.




Jambatan besi yang berukuran sepanjang 620 meter dengan ketinggian 16 meter dari aras tanah, adalah laluan yang menghubungkan Two Rivers Lookout dengan Roe Garden.

Dinding jambatan yang diperbuat daripada kaca membolehkan saya melihat tumbuh-tumbuhan hutan dari bahagian atas. Adakalanya terlihat burung-burung yang sedang membuat sarang diatas pokok.










Panorama Sungai Swan dan Sungai Cannington yang menarik dapat dilihat.








Apabila tiba dihujung jambatan, saya terus berjalan menuju ke arah tugu-tugu peringatan yang terdapat di sini.

Bagi sesetengah pengunjung, ini permulaannya.



Tapi bagi saya, ini penghujungnya. Tengoklah dari mana anda bermula :)



Dari jauh kelihatan tugu pahlawan tegap berdiri menghadap Sungai Swan, bagi memperingati wira-wira yang gugur. Sebelum tiba ke tugu tersebut, saya melalui kawasan yang digelar "The Flame of Rememberance".




                 Terdapat nyalaan api yang tidak pernah padam semenjak ia dinyalakan sebagai tanda ingatan yang tidak pernah luput terhadap wira-wira mereka yang gugur.






Di dinding batu pula terdapat plak negara-negara yang pernah menerima khidmat mereka ketika zaman perang termasuklah "Malaya 1948 - 1960".







Tugu pahlawan yang mempunyai ketinggian 18 meter pula dibina dengan batu granit.

Seramai 7000 orang gugur ketika Perang Dunia Pertama meletus dan nama-nama wira-wira mereka terpahat di dinding bahagian dalam, bawah tugu tersebut.

Dibahagian luar pula, plak-plak berwarna gangsa tercatit nama 4000 orang wira yang gugur ketika Perang Dunia Kedua.

(Saya tidak mengambil foto tugu pahlawan ini dari jarak dekat kerana terdapat lambang salib padanya)


Pemandangan Sungai Swan dan kota Perth begitu menarik sekali dilihat dari sini. Angin yang bertiup nyaman membolehkan ramai orang berkelah di seluruh taman yang berada disekitar tugu.

 




                     Terdapat banyak lagi tugu-tugu peringatan dibina di sini. Antaranya 10th Light Horse Memorial, South African War Memorial, Queen Victoria Statue, HMS Queen Elizabeth Shells, Leake Memorial Fountain, 2/16th Batalion Memorial, Kokoda Memorial Plaque, Jewish War Memorial, Dr Arnold Cook Memorial dan yang terbaru adalah Bali Memorial dibina sebagai memperingati 88 orang warga Australia terbunuh ketika tragedi pengeboman berlaku pada tahun 2002.


Kedai cenderahati yang ada di Kings Park

Satu-satunya kafe yang ada di sini

Wishing Well
                     Lebih kurang 200 meter dari tugu peringatan, terdapat sebuah galeri seni orang asli Australia.




Ketika melangkah masuk ke dalam galeri tersebut, bauan minyak serai wangi memenuhi ruang. 

Rupa-rupanya mereka menggunakan astrak minyak serai wangi ini sebagai ganti  "ubat gegat" atau "mothball" bagi menjaga kualiti fabrik.

Walau bagaimana pun tidak dibenarkan mengambil foto di dalam galeri ini kerana ia adalah ‘taboo’ demi memelihara semangat nenek moyang mereka.

Destinasi saya yang terakhir adalah Jacobs Ladder.





Agak sukar juga untuk mencarinya jika tidak bertanya kepada penduduk tempatan. Jacobs Ladder adalah tanda sempadan Kings Park di hujung jalan Cliff Street.

Ada 242 anak tangga yang menuju ke jalan Mounts Bay. Walaupun penat berjalan di Kings Park, saya beranikan diri untuk menuruni anak-anak tangga yang agak curam ini.







Saya menjangka ianya mudah kerana saya menuruni tangga dan bukan sebaliknya.






       Belum separuh anak tangga, saya mula berfikir, perlukah saya meneruskannya?




Kepala saya mula berdenyut-denyut, pening. Saya sudah terasa mahu pengsan.  Saya cuba juga sedaya upaya menuruni saki baki tangga yang ada.

Masih jauh lagi ke bawah. Adehhh....










Jangkaan saya ternyata meleset kerana sewaktu tiba di penghujungnya, kaki terasa begitu lemah. 


Rupa-rupanya kurang 30 anak tangga lagi, ianya sama dengan anak tangga Batu Caves!

Sama ada naik atau turun, ianya amat sukar sekali.


          Saya menggagahkan diri berjalan terhoyong hayang menuju ke Busport Esplanade. Bas bernombor 34 amat saya nanti-nantikan untuk pulang ke rumah. 

Saya betul-betul mahu pengsan!


Tips :

1)    Tidak digalakkan menaiki bas di pondok yang bertanda “R”. Walaupun ia melalui Kings Park tetapi perhentiannya agak jauh.

2)    Kings Park termasuk di dalam kawasan FTZ atau Free Transit Zone. Ini bermakna sekiranya menaiki bas di kawasan CBD Perth atau Central Business District Perth, tiada bayaran tambang di kenakan.

3)    Bawa makanan dari rumah kerana hanya terdapat sebuah kafe di sini yang tidak halal.

4)  Ketahui tempat-tempat yang ada di sini sebelum memulakan lawatan kerana banyak lagi tempat yang tidak dilawati oleh penulis. Sekiranya ingin melawat ke semua tempat yang ada di sini akan memakan masa sekurang-kurangnya dua hari.

5)    Terdapat laluan mesra OKU, kereta sorong bayi dan golongan tua bagi memudahkan lawatan.

6)    Perlu berhati-hati apabila turun atau naik Jacobs Ladder kerana ramai orang berlari turun dan naik tangga sebagai satu aktiviti sukan.

7)    Jika membawa kenderaan, pastikan diparkir di kawasan yang betul dan bukan di tepi jalan.

8)    Tempat-tempat lain yang boleh dilawati di Kings Park
•           Lotterywest Family Area
•           Saw Avenue Picnic Area
•           Synergy Parkland
•           DNA Tower
•           Law Walk/Bushland Nature Trail
•           Kokoda Track Walk
•           Wishing Well
•           Karri Log
•           Honours Avenue

•           Sandakan Memorial