Tuesday, May 6, 2014

Boyup Brook – Kentut Si Koala


            Ketika berada di Katanning, suami yang menyedari kekecewaan saya lantas bertanya, “Mahu pergi ke Boyup Brook?”

            Terkebil-kebil mata saya memandang beliau lalu saya berkata, “Boyup Brook? Apa ada di sana?”

            “Dengar cerita terdapat kentut koala yang dibotolkan tetapi saya kurang pasti,” jawab suami tersenyum sumbing seolah-olah ada perkara yang mahu dirahsiakan.

            Cik puan Iza lantas bertanya, “Bagaimana pula mereka membotolkan kentut koala? Tidak masuk akal langsung.”

            Suami yang seolah-olah sedang cuba menahan ketawa berkata, “Apa kata kita pergi melihatnya. Mahukah?”

            Tanpa berlengah lagi saya terus menghidupkan enjin kereta lantas meninggalkan bandar Katanning.

            Sambil memerhati jalan lurus di hadapan, saya bertanya pada suami, “Berapa jauh perjalanan dari sini ke Boyup Brook?”

            Beliau membelek-belek peta di tangannya sebelum menjawab, “Lebih kurang 130km.”

            “130km? Sempatkah kita pulang ke rumah malam ini?”

            “Jika Tuhan izinkan, kita akan sampai ke rumah sebelum tengah malam,” jawab suami selamba.

            Saya terus bertanya cik puan Iza minta pendapat, “Bagaimana? Mahu teruskan perjalanan ke Boyup Brook?”

            Jawapan yang diberikan mencuit hati kami, “Oh sudah tentu. Teruskan saja. Saya mahu melihat kentut si koala. Jika boleh, saya mahu kentut saya dibotolkan juga.”

            Kami semua ketawa berdekah-dekah.

         Perjalanan sejauh 130km itu mengambil masa lebih kurang dua jam setengah. Sepanjang perjalanan,di kiri kanan hanyalah rimbunan pohon-pohon eucaliptus dan pohon gum.
  
          Teringat pula pada waktu kecil dahulu saya suka menonton cerita koboi yang bertajuk “The High Capral” dan “Little House on The Prairie”. Keadaan kawasan rumah-rumah di sini lebih kurang sama dengan lokasi penggambaran drama-drama tersebut.

          Kerana mengejar masa, saya tidak dapat merakamkan gambar di sepanjang perjalanan. Saya perlu pastikan kami tiba di rumah tidak terlalu lewat.

            Tiba di Boyup Brook, kami terus mencari pusat informasi.




         

            
   Ketika memasuki pusat informasi tersebut, seorang wanita dalam usia 60 tahun sedang mengait benang untuk dijadikan baju sejuk, sedang berada di kaunter pendaftaran.

Apabila melihat kami, beliau terus mengunjurkan buku pendaftaran pelawat sambil melemparkan senyuman manis. Beliau juga turut memberi sedikit penerangan tentang pusat informasi itu sebelum membiarkan kami meninjau-ninjau barangan cenderahari yang terdapat di situ.

Kawasan pameran cenderahati berada di bahagian hadapan.









Terdapat sebuah bilik yang dijadikan tempat pameran rama-rama. Kami melihat banyak spesis rama-rama yang telah diawet,  tergantung di dinding.

            Teringat pula pada Taman Rama-Rama di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Pamerannya hampir serupa sahaja. Tinggal lagi di sini mereka hanya meminta sumbangan ikhlas sebagai tiket masuk. Jika tidak mahu menyumbang pun tidak mengapa.












            Di sebuah bilik lagi adalah bilik pameran patung-patung mainan kanak-kanak yang telah direka oleh Puan Ede Tuckett. Puan Ede Tuckett adalah salah seorang penduduk di situ.


            Ketika memasuki bilik tersebut, entah mengapa secara tiba-tiba bulu roma meremang. 
Patung-patung itu seolah-olah hidup dan memerhatikan setiap pergerakan!










            Lantas saya terfikir watak dalam filem ‘Childs Play’ iaitu ‘Chucky’ yang dirasuk roh jahat lalu menjadi pembunuh.

            Saya tidak mahu berada di situ lama-lama. Terus saja beredar ke bahagian cenderahati.

            Kedengaran suara suami melaung. Terus saya menghampirinya lalu beliau terus menunding ke arah sesuatu.


                        Saya terus membaca informasi yang diberikan, lantas tergelak besar. Terus saya menggamit ke arah cik puan Iza yang teruja melihat patung-patung sebesar budak berusia dua tahun.

            “Eh, memang betul ada kentut koala. Macam mana mereka botolkannya ya?” tanya beliau kehairanan.

            Saya dan suami makin ketawa mengekek.







Tips :

1.    Boyup Brook adalah tempat meraikan Festival Country Music di Western Australia.

2.    Festival Country Music diadakan pada bulan Febuari.

3.    Tiada makanan halal dijual.

4. Jika mahu tahu bagaimana bau kentut koala, boleh dapatkan dari www.naturesalternative.com.au atau datang saja ke sini.

5.  Boleh layari laman sesawang http://www.boyupbrooktourism.com.au/Boyup-Brook-Accommodation.html untuk mencari tempat penginapan.



           

            

No comments:

Post a Comment