Hampir empat tahun
saya memujuk suami untuk ke Katanning, satu daerah di bahagian tenggara Perth.
Melalui
pembacaan diinternet, sekitar kurun ke 19, terdapat keturunan melayu berhijrah dari
Pulau Koko (Keeling) ke Katanning, Western Australia.
Kesan
daripada penghijrahan itu, mereka menjadi tenaga kerja bagi industri perusahaan
kopra.
Namun
kini mereka bekerja di pusat penyembelihan binatang ternakan bagi pasaran halal.
Saya terlampau ingin bersua dengan
penduduk Melayu Katanning. Puas mencari informasi di sosial media Facebook,
namun tiada siapa yang dapat dihubungi.
Suami sangat keberatan hendak menuruti
kehendak saya, namun akhirnya beliau mengalah.
Cuma
beliau mengingatkan, agar bersedia dari segi fizikal dan mental.
Namun
saya tidak menghiraukan pesanannya.
Saya
hanya mahu bertemu dengan rumpun bangsa Melayu yang telah lama menetap di situ.
Khabarnya
generasi baru orang Melayu yang lahir dan dibesarkan di situ, bertutur dengan
Bahasa Melayu sesama sendiri.
Cikpuan Iza yang mengetahui tentang
hajat saya, ingin turut serta.
Oleh
itu kami perlu kembali pada hari yang sama. Ini kerana saya tidak mahu beliau
terlepas peluang meronda-ronda di Hay dan Murray Street sebelum bertolak ke
tanah air pada petang keesokan harinya.
Ketika mengambil kereta sewa dari
Mister Vietnamese (gelaran yang saya beri pada pemilik kereta sewa), beliau
telah mengingatkan saya agar berhati-hati memandu.
“Dalam
perjalanan ke Katanning, jangan sampai melanggar kanggaru. Had kelajuan di sini
bukan seperti di Malaysia. Malaysia boleh!” katanya yang menggelar diri saya ‘Makan-Makan’
sebaik saja beliau mendapat tahu saya berasal dari Malaysia.
Sambil
tersenyum saya menjawab, “Terima kasih atas ingatan. Saya seorang pemandu yang
berhemah, jadi jangan risau.”
Berkerut
dahi Mister Vietnamese mendengar jawapan saya. Suami pula mengeleng.
Saya
tersengih.
Usai solat Subuh kami bertiga
memulakan perjalanan dengan mengikuti laluan Albany Highway. Jarak antara Perth
dan Katanning lebih kurang 280km.
Lebih kurang setelah 30km jarak
pemanduan, kami berhenti rehat di bandar Armadale. Waktu masih awal dan kami
mencari-cari kedai bagi membasahkan tekak.
Hanya
ada sebuah kedai kopi saja yang telah dibuka. Perjalanan masih jauh, kami
hanya sekadar minum secawan kopi setiap seorang sebelum meneruskan perjalanan.
Sepanjang
perjalanan dari Armadale, di kiri kanan jalan rimbunan pohon-pohon eucalyptus
yang berusia puluhan tahun, malah ada yang ratusan tahun, meredupkan suasana.
Namun,
jalanraya yang hanya mempunyai satu lorong bagi satu arah, melambatkan perjalanan
ditambah pula dengan had laju kenderaan yang hanya 100km/j.
Ditambah
pula dengan kenderaan berat yang melalui jalan yang sama.
Saya
tidak dapat melepasi kenderaan berat di hadapan. Perlu menunggu hampir
berkilometer jauhnya, baru ada kawasan yang dibenarkan memintas.
Agak
hairan juga ada pemandu yang menjarakkan kenderaannya dengan jarak yang luas
dan turut menyalakan lampu kereta.
Menurut
suami, pemandu itu adalah petani atau penternak yang tinggal di kawasan
terpencil.
Kenderaan
mereka sememangnya dicipta sebegitu iaitu apabila enjin dihidupkan, lampu besar
di hadapan akan menyala secara automatik. Ini kerana mereka keluar rumah ketika
waktu masih gelap pada awal pagi.
Tentang
jarak pemanduan yang sengaja dijarakkan sebegitu rupa adalah kerana ditakuti
binatang yang tinggal di hutan secara tiba-tiba melompat keluar menuju ke jalan
raya.
Jadi
masih ada ruang untuk memberhentikan kenderaan jika mengalami situasi tersebut.
Entahkan ia entahkan tidak kenyataan
suami, namun tidak pula saya bantah kenyataan tersebut.
Cikpuan Iza yang masih kepenatan, tertidur
di sepanjang perjalanan. Suami kadangkala terlena juga.
Hanya saya seorang yang masih berjaga
sambil mata terkebil-kebil menahan mengantuk.
Manakan tidak, jalanraya yang begitu
lurus, amat membosankan. Tiada apa yang mahu dilihat di kiri kanan jalan
melainkan pepohon eucalyptus.
Tambahan pula lebuhraya yang dilalui
bukan macam di Malaysia. Ia semacam jalan kampung di tanah air. Cuma lebar
sedikit.
Akhirnya apabila tiba di satu tempat
bernama Williams, saya berhenti sebentar di sebuah kedai cenderahati. Hanya itu
satu-satunya kedai yang ada.
|
Err.... |
|
Tidak banyak cenderahati yang dijual. |
Saya menoleh ke kiri, hanya ada
rimbunan pokok bunga ros menghiasi tepi jalan dan pabila saya toleh ke kanan
ada sebuah bangunan kedai juga tetapi tidak pula kaki ini melangkah ke sana.
Pemanduan diteruskan kerana menurut
suami perjalanan masih jauh lagi. Sesungguhnya tiada apa yang saya boleh
katakan tentang pemandangan di kiri kanan jalan. Hanya tumbuhan belukar tumbuh
melata.
Sesekali kami melalui kawasan padang
ragut ternakan biri-biri, lembu dan kuda. Saya tidak dapat mengambil foto di
kawasan tersebut kerana suami dan cikpuan Iza sudah mula sakit kepala.
Jadi saya terus memandu dengan had
laju yang dibenarkan untuk sampai ke Katanning.
Suami mahu saya memandu hingga
sampai ke satu tempat bernama Kojonup. Ia satu pekan kecil, 40km dari
Katanning.
Apabila saya terlihat papan tanda
Kojonup, hati saya berbunga riang kerana saya mahu membasahkan tekak sambil
membeli makanan.
Namun, hanya ada sebuah stesen
minyak dan sebuah kedai membaiki kereta.
Kebetulan saya perlu mengisi petrol,
terus saya membelok ke stesen tersebut. Mereka tidak menjual makanan atau minuman.
Entah di mana pula kedai menjual
makanan dan minuman, tidak pula saya tanyakan kepada pemilik stesen minyak yang
memerhatikan kami bertiga.
Selepas
berunding dengan suami, kami meneruskan perjalanan ke Katanning tanpa makanan
dan minuman.
Sangkaan kami apabila tiba di Katanning
nanti pasti ada restoren makanan halal.
Hampir
satu jam memandu akhirnya kami tiba jua di pekan Katanning.
Hati
saya kembali berbunga riang. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Perut
sudah mula mendendangkan lagu.
Puas
saya memandu mencari kedai makanan halal, namun tiada!
Saya
amat hairan. Teringat pula kata seorang sahabat, restoran Chicken Treat adalah
halal.
Jadi
apabila kami terlihat restoren Chicken Treat, terus kami melangkah masuk.
Apabila
kami melihat menunya, kami amat pasti ianya restoren yang tidak halal. Kami
melangkah keluar dari situ.
Saya
katakan pada suami, lebih baik kita mencari masjid. Mungkin di situ kita akan
bertemu dengan orang melayu Katanning. Suami hanya menurut.
Puas
sudah bertanyakan kepada penduduk tempatan lokasi masjid. Penduduk tempatan
memberikan lokasinya, namun kami tidak menjumpainya walaupun hampir satu jam kami
berpusing-pusing mencari.
‘Oh, lupa pula mahu
beritahu. Kami berkelana tanpa menggunakan GPS. Kami berpandukan buku peta yang diberi oleh Mister Vietnamese.'
Kami
dapat melihat banyak tanda salib di sekitar pekan tersebut.
Akhirnya
saya berhenti di stesen minyak dan bertanya tentang lokasi masjid kepada
seorang gadis manis berambut perang yang menjaga kaunter.
Beliau
tersenyum dan berkata saya hanya perlu membelok di simpang tiga tidak jauh dari
stesen tersebut.
Masjid
Katanning terletak di hujung jalan.
Selepas
membeli beberapa botol air minuman dan mengucapkan terima kasih kepada gadis
itu, saya terus memandu ke masjid yang gagah berdiri di Hassel St.
Ketika
kami melangkah masuk, terdapat satu plak di pintu masuk masjid yang tertulis
bahawa masjid ini telah dirasmikan oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj pada tahun 1981.
Begitu
teruja saya membacanya.
Apabila
melangkah masuk hanya ada seorang jemaah lelaki sedang berwirid. Kami menunggu
seketika.
Sebaik
sahaja beliau berada di muka pintu, saya terus memberi salam dan dengan sengaja
saya bertanya tentang restoren halal di situ dalam Bahasa Melayu.
Sambil
merenung saya, beliau menjawab dengan Bahasa Melayu tetapi loghat Singapura,
“Di sini tiada restoren halal. Restoren yang ada dahulu telah di tutup. Tetapi kamu
boleh makan di Chicken Treat kerana ayamnya disembelih secara halal.”
Kening
saya berkerut, “Tetapi mereka turut menyediakan makanan yang tidak halal.
Bolehkah kita makan di situ?”
Beliau
mengangguk dan berkata, “Boleh. Minta saja menu yang halal.”
“Adakah
kamu pelajar dari Malaysia?” tanya lelaki yang tidak saya ketahui namanya.
Saya
terdiam seketika apabila mendengar jawapannya sebelum menjawab, “Bukan. Kami
adalah pelancong dari Malaysia.”
Kemudian
beliau terus melangkah keluar masjid meninggalkan kami yang terpinga-pinga kerana
masih ada banyak soalan yang mahu saya ajukan.
Namun
deruman kereta ‘ute’ terus meninggalkan perkarangan masjid tanpa mempedulikan
kami.
Hati
saya kecewa tidak terkata. Kembara saya untuk mencari saki baki rumpun melayu
yang masih ada di sini, punah sama sekali.
Namun
ketika saya menunaikan solat di masjid ini, kekecewaan di hati sedikit sebanyak
terubat.
Masjid
Katanning ini begitu indah sekali. Tidak secantik masjid-masjid yang ada di
Malaysia. Namun masjid yang kukuh berdiri di negeri yang kebanyakkan
penduduknya menganuti agama lain, menjadikan saya terasa begitu sayu.
Saya
percaya ada sebab musababnya mengapa saya tidak ketemu apa yang di cari.
Namun,
saya menemui masjid yang indah ini. Terus
saya mengucapkan syukur pada Ilahi.
Usai
solat, kami terus menuju ke Restoren Chicken Treat. Kami tidak punyai pilihan.
Ini
sudah jadi kes darurat!
Tips :
1.
Jika mahu berkelana ke
kawasan pedalaman, perlu membawa makanan dan minuman yang secukupnya dari
rumah.
2.
Pastikan mendapat tidur dan
rehat yang cukup kerana perjalanan sangat jauh.
3.
Tiada kawasan berenti rehat
di sepanjang perjalanan. Jika bertemu dengan pekan kecil, lebih baik berehat
seketika di situ.
4. Hati-hati apabila melalui
kawasan hutan. Kadangkala kanggaru liar melompat dari hutan menyeberang jalan.
5.
Denda minimum melanggar
seekor kanggaru adalah $1,500.00.
|
Bahagian Muslimat |
|
Bahagian Muslimin |
|
Selamat Tinggal Katanning |